Tuesday, March 27, 2012
Duda didakwa tikam janda muda
Duda didakwa tikam janda muda
KOTA BHARU – Perbuatan seorang pembantu hospital yang menikam bekas isterinya dengan sebilah gunting di tempat letak kereta sebuah pasar raya pada Jun tahun lalu memasuki episod baharu apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan mencederakan wanita itu.
Muhammad Roofeza Dollah @ Abdullah, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Muhammad Roofeza didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas bekas isterinya, Hazita Mohamed (gambar kecil), 28, dengan menikam wanita itu menggunakan sebilah gunting pada pukul 4 petang, 20 Jun tahun lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara 20 tahun atau sebat atau denda.
KOTA BHARU - Seorang janda muda cedera parah selepas dikelar dan ditikam berkali-kali di muka, kepala dan leher dengan gunting dipercayai oleh bekas suaminya dalam satu pergaduhan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini semalam.
Kejadian pukul 4 petang itu berlaku apabila Hazita Mohamad (gambar), 27, enggan menuruti permintaan bekas suaminya, 29, supaya kembali semula kepadanya.
Ekoran itu, pelajar dandanan rambut itu cedera parah dan keadaannya dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum itu, bekas suami mangsa dikatakan telah mengekori kereta yang dipandu wanita tersebut hingga ke pasar raya berkenaan.
Katanya, sebaik tiba di tempat letak kereta, suspek telah menerpa masuk ke dalam kereta mangsa lalu berlaku pergelutan.
"Mangsa telah dikelar di muka dan ditikam di kiri dan kanan leher serta belakang kepala dengan gunting. "Suspek kemudian melarikan diri selepas orang ramai cuba meleraikan pergaduhan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati punca pergaduhan itu ialah kerana suspek naik berang selepas permintaannya untuk rujuk ditolak mentah-mentah oleh mangsa.
Menurut Azham, pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang bekerja sebagai pembantu hospital itu dan yakin dia akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera.
Sementara itu kakak mangsa, Hazlina, 30, yang ditemui di HRPZ II memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi pihak hospital 15 minit kemudian.
Katanya, adiknya telah bercerai dengan bekas suaminya pada tahun lalu setelah berkahwin selama tujuh tahun.
"Saya pun tidak pasti punca perceraian mereka, mungkin disebabkan cemburu," katanya.
Kosmo
21 Jun 2011
Pelatih salun kecantikan enggan rujuk diserang
KOTA BHARU: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila diserang dengan gunting sehingga cedera di kepala, leher dan muka oleh bekas suaminya di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di bandar ini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa, pelatih salun kecantikan, Hazita Mohamad, 28, yang berasal dari Tumpat berkunjung ke pasar raya itu untuk membeli barang keperluan salun.
Keengganan merujuk kembali kepada suspek menjadi punca motif kejadian berlaku. Wanita berkenaan mengalami kecederaan parah tetapi stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata mangsa dipercayai diekori oleh suspek sehingga ke tempat meletak kenderaan di pasar raya berkenaan sebelum bertindak menerpa masuk ke dalam kereta wanita itu.
“Suspek kemudian menggunakan gunting menikam belakang kepala, leher serta muka.
“Mereka bergelut dalam kereta berkenaan, orang ramai yang melihat kejadian cuba membantu mangsa, suspek pula bertindak melarikan diri," katanya.
Berita Harian
21 Jun 2011
Wanita ditikam bekas suami
KOTA BHARU 20 Jun - Seorang wanita cedera ditikam bertubi-tubi di tingkat bawah ruang meletak kereta sebuah pasar raya di Jalan Sultan Yahya Petra di sini hari ini, dipercayai dilakukan oleh bekas suaminya selepas mangsa enggan merujuk kembali kepada suspek.
Dalam kejadian kira- kira pukul 4 petang, mangsa, Hazita Mohamad, 27, mengalami kecederaan serius selepas ditikam dengan sebilah gunting di kepala serta leher dan dikelar di bahagian muka.
Mangsa yang sedang mengikuti kursus dandanan rambut di sebuah salon di sini, kini menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa memandu keretanya dari sebuah kompleks beli belah di sini menuju ke tempat letak kereta pasar raya tersebut.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kereta itu, suspek telah menyerbu masuk ke dalam kereta mangsa sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan dia ditikam di belakang kepala, leher kiri dan kanan serta terdapat kesan kelar di mukanya.
"Orang ramai yang melihat pergelutan itu cuba membantu, bagaimanapun suspek yang bekerja sebagai pembantu hospital berjaya melepaskan diri dan mangsa telah dihantar ke HRPZ II untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azham berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berpunca daripada tindakan mangsa yang enggan merujuk kembali selepas bercerai sehingga menyebabkan suspek berang dan bertindak di luar kawalan.
Katanya, pihak polis telah mengenal pasti suspek dan usaha untuk mengesannya sedang giat dijalankan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan," katanya.
Sementara itu, kakak mangsa, Hazlina, 30, berkata, adiknya telah bercerai dengan suspek pada tahun lalu selepas berkahwin selama tujuh tahun dan cemburu dikatakan menjadi punca perpisahan pasangan berkenaan.
"Adik saya mengikuti kelas dandanan rambut di sebuah salon di kompleks beli belah di sini, dalam kejadian hari ini, dia mungkin ke pasar raya yang terletak kira-kira dua kilometer dari salon itu untuk membeli barang," katanya.
Utusan
21 Jun 2011
KOTA BHARU: ‘Parkir asmara’ sebuah pasar raya di sini, seperti didedahkan muka depan akhbar ini 8 Jun lalu, bertukar ‘parkir berdarah’, apabila seorang pelatih salun parah ditikam sekurang-kurangnya tujuh kali di kepala, leher dan muka menggunakan gunting oleh bekas suaminya dipercayai kerana gila talak, semalam.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari petugas pasar raya berkenaan sejurus terdengar jeritan wanita berusia 28 tahun itu ketika dia cuba melarikan diri daripada ‘ditawan’ bekas suami yang memandu kenderaannya.
Dalam keadaan yang tidak bermaya dan berlumuran darah, mangsa, Hazita Mohamad memberitahu kejadian berkenaan kepada petugas pasar raya itu bahawa dia ditikam bekas suaminya dan memberitahu lelaki berusia 30-an terbabit melarikan diri dengan berjalan keluar dari parkir berkenaan.
Melihat keadaan mangsa yang parah, kakitangan pasar raya berkenaan menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan segera di wad kecemasan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian menimpa mangsa dan wanita itu dipercayai diekori bekas suaminya dari sebuah pusat beli-belah di sini, sehingga ke lot parkir pasar raya itu.
“Bekas suaminya menerpa masuk ke dalam kereta dan menikamnya menggunakan gunting hingga menyebabkan dia cedera di belakang kepala, leher kiri dan kanan serta muka.
myMetro
21 Jun 2011
Bekas suami tikam janda diburu
KOTA BHARU: Polis melancarkan gerakan memburu seorang kakitangan sebuah hospital berusia 30 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes menikam bekas isterinya menggunakan gunting dipercayai kerana gila talak dalam kejadian, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata berdasarkan siasatan, suspek yang dikenali sebagai Roofeza Abdullah bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di sebuah hospital, di sini.
“Kami (polis) mengesan suspek dan berusaha menangkapnya. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan cedera parah kepada mangsa yang juga bekas isterinya.
“Hasil siasatan, polis menemui senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan tindakan segera akan diambil, manakala senjata berkenaan dipercayai milik hospital tempat suspek bekerja,” katanya ketika ditemui di Wad 28, Hospital Raja Perempuan II (HRPZ II), di sini, semalam.
Terdahulu, Azham meluangkan masa kira-kira setengah jam bermula jam 12.15 tengah hari untuk melihat keadaan mangsa yang juga pelatih salun, Hazita Mohamad, 28, yang kini menerima rawatan di wad hospital berkenaan.
Pertemuan singkat terbabit digunakan Azham untuk memberi kata-kata semangat kepada Hazita dan anak lelakinya berusia enam tahun sebelum berjanji untuk menahan bekas suaminya.
Pemerhatian wartawan yang turut mengunjungi mangsa mendapati mangsa masih trauma dan tidak dapat menjawab soalan secara terperinci, meskipun dikelilingi keluarga terdekat.
Selain ditikam, laporan doktor mendapati, wanita itu turut menerima gigitan di lengan kiri tangannya dan lebam.
Azham berkata, suspek dipercayai mengekori bekas isterinya dari sebuah pusat beli-belah ke pasar raya berkenaan dan menerpa wanita itu ketika berada di parkir tingkat bawah pasar raya berkenaan.
“Kami percaya berlaku pertengkaran dan suspek menggunakan senjata untuk mencederakan mangsa, manakala punca pertelingkahan akibat keengganan mangsa merujuk kembali dengan bekas suaminya itu,” katanya.
Menurut Azham, mana-mana pasangan suami isteri diingatkan supaya menyelesaikan masalah rumah tangga secara aman serta tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang.
Semalam, Harian Metro melaporkan, ‘parkir asmara’ sebuah pasar raya di sini, seperti didedahkan muka depan akhbar ini, 8 Jun lalu, bertukar ‘parkir berdarah’, apabila seorang pelatih salun parah ditikam sekurang-kurangnya tujuh kali di kepala, leher dan muka menggunakan gunting oleh bekas suaminya dipercayai kerana gila talak.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari petugas pasar raya berkenaan sejurus terdengar jeritan wanita berusia 28 tahun itu ketika dia cuba melarikan diri daripada ‘ditawan’ bekas suami yang memandu kenderaannya.
Dalam keadaan yang tidak bermaya dan berlumuran darah, mangsa memberitahu kejadian berkenaan kepada petugas pasar raya itu bahawa dia ditikam bekas suaminya dan memberitahu lelaki berusia 30-an terbabit melarikan diri dengan berjalan keluar dari parkir berkenaan.
Melihat keadaan mangsa yang parah, kakitangan pasar raya berkenaan menghantarnya ke HRPZ II bagi mendapatkan rawatan segera di wad kecemasan.
myMetro
22 Jun 2011
Lelaki tikam bekas isteri, serah diri
KOTA BAHARU - Seorang lelaki yang dipercayai menikam bekas isterinya sehingga cedera parah di tingkat bawah ruang meletak kereta sebuah pasar raya bulan lepas, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman berkata suspek yang berumur 28 tahun itu hadir ke balai polis bersendirian kira-kira pukul 3 petang.
"Kami sudah ambil keterangan daripada suspek dan dia akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian bulan lepas seorang wanita berumur 27 tahun ditikam bertubi-tubi di tingkat bawah ruang meletak kereta sebuah pasar raya di Jalan Sultan Yahya Petra di sini.
Wanita itu mengalami kecederaan serius akibat ditikam dengan sebilah gunting di kepala, leher serta dikelar di bahagian muka, dan beberapa media melaporkan ia dipercayai dilakukan oleh bekas suami wanita itu.
Azham berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan. - Bernama
24 jun 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment