Monday, April 11, 2011

Martabak raja guna logo halal tak sah


Gara-gara mempamerkan logo halal tanpa kelulusan, sebuah syarikat pembuat makanan dikenakan tindakan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan semalam.

Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 1 tengah hari di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, dekat sini, pihak PPDNKK merampas sejumlah 500 biji martabak raja keluaran syarikat terbabit serta 13,000 kotak pembungkus yang tertera logo halal tanpa kebenaran dianggarkan bernilai hampir RM20,000.

Pengarahnya, Fauzi Haron berkata, operasi pihaknya itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) yang menerima aduan sebelum ini mengenai keraguan terhadap sijil halal beberapa produk keluaran syarikat berkenaan.

Menurutnya, syarikat itu dipercayai telah menjalankan operasi sejak dua tahun lalu dan kini mengeluarkan 12 produk makanan pelbagai jenis dan lima daripada produk berkenaan tidak mendapat kebenaran untuk mempamerkan logo halal.

Kerani lesap RM1.7 juta wang syarikat

Polis sedang mengesan seorang kerani akaun sebuah syarikat pemfailan di Bayan Lepas di sini, Chuah Siew Lay (gambar), 40, bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah RM1.7 juta dalam syarikat tersebut sejak empat tahun lalu.

Kehilangan wang itu disedari oleh pengurus syarikat itu pada 8 April lalu sebelum pengurus itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, wang berjumlah RM1.7 juta itu lesap daripada akaun syarikat itu melalui 41 transaksi yang dibuat ke dalam akaun bank dipercayai milik rakan Siew Lay sejak tahun 2007.

"Wang tersebut kemudian dikeluarkan dari akaun tersebut dan dipercayai diserahkan kepada Siew Lay," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, polis yang bertindak atas aduan pengurus syarikat itu berjaya membekukan wang berjumlah RM231,000 yang masih terdapat dalam akuan rakan Siew Lay yang berusia 25 tahun.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...