BALIK PULAU – Gara-gara menulis perkataan lucah pada kertas saman polis, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari selain didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Diannee Ningrad Nor Azhar menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Lim Pei Jye, 41, mengaku salah ke atas pertuduhan yang disabitkan terhadapnya itu.
Mengikut pertuduhan, Pei Jye didakwa mengeluarkan perkataan atau isyarat lucah pada buku saman yang diberikan kepadanya untuk ditandatangani dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang anggota polis, S. Thanesan.
Lelaki tersebut dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kafe di Jalan Batu Ferringhi dekat sini ketika ditahan dan disaman kerana melanggar lampu isyarat pada pukul 9.50 pagi, 2 Julai lalu.