Wednesday, March 28, 2012

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Perawatannya

Assalamualaikum,

Baru-baru ini diumumkan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau HFMD telah menular di kawasan Taman Tun Dr Ismail. Saya sendiri di klinik Idzham, telah merawat beberapa orang kanak-kanak yang menghidapinya dan telah memberikan cuti yang lama dari sekolah.

Marilah kita sama-sama berkongsi pengetahuan tentang penyakit yang pernah menjadi endemik di Sarawak dan Johor sesuatu ketika dahulu dan menyebabkan lebih 30 kematian.

Artikel tentang HFMD ini adalah dirujuk daripada garispanduan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kes HFMD.



Definisi dan Penyebab

HMFD ialah jangkitan melalui sejenis virus dipanggil enterovirus, atau virus yang biasa terdapat di dalam usus. Contoh virus yang menjangkiti manusia ialah poliovirus, Coxsackie virus A dan B, echovirus dan enteroviruses 68-71.

HFMD boleh disebabkan oleh coxsackievirus A16, A5, A9, A10, B2, B5 and enterovirus 71. Coxsackievirus A16 (Cox A16) adalah penyebab paling biasa HFMD tetapi yang paling tidak bahaya.

HFMD disebabkan oleh enterovirus 71 (EV71) adalah lebih merbahaya dan menyebabkan kematian. Ini adalah disebabkan oleh jangkitan selaput otak (meningitis), Jangkitan otak (encephalitis), masalah jantung (myocarditis) dan jangkitan paru-paru berair.


Cara jangkitan

HFMD mudah berjangkit. Jangkitan dapat merebak daripada manusia ke manusia melalui sentuhan melalui cairan hidung dan mulut, air liur, cecair daripada lepuh tangan dan kaki, dan najis mereka yang dijangkiti. Seseorang pesakit paling mudah menjangkiti orang lain dalam waktu seminggu terkena jangkitan.


Gejala Penyakit

HFMD datang dengan tumbuh ruam dan lepuh di tangan dan tapak tangan (macam berair atau ruam merah), penggelangan tangan, kaki dan juga kawasan mulut. Kebiasaannya, hampir kesemua kes mempunyai ruam di tangan, tetapi hanya 90% sahaja kes yang mempunyai ruam di dalam mulut. Adakalanya hanya ruam di tangan sahaja yang timbul jika dijangkiti HFMD tanpa ruam2 di kawasan yang lain.

Dalam masa yang sama, pesakit boleh mendapat demam, rasa lenguh-lenguh badan, sakit kepala, jangkitan mata, sakit perut dan kadang-kadang cirit birit.

Di antara banyak virus penyebab HFMD, virus yang disebabkan oleh enterovirus 71 (EV71) adalah paling merbahaya. Demamnya adalah lebih tinggi (39 darjah ke atas) dan lebih daripada 3 hari. EV71 adalah penyebab kematian 27 orang kanak-kanak di Sarawak daripada 34 kematian pada tahun 1997.

Perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya anak anda menghidap HFMD:-

. Demam Tinggi.
• Penat dan lemah.
• Tidak mahu makan dan kurang kencing.
• Bernafas kencang.
• Muntah-muntah.
• Nampak mengantuk, pening dan cepat marah dan menangis.
• Sawan


Perawatan HFMD.

HFMD biasanya tidak bahaya dan hilang sendiri. Kebanyakan kes tidak perlukan kemasukan ke hospital dan hanya perlu dirawat sebagai pesakit luar sahaja.

Perawatan simptomatik diperlukan oleh kebanyakan pesakit HFMD. Ini bermaksud menurunkan demam, mengurangkan kesakitan seperti sakit kepala dan sakit badan, Meningkat hidrasi pesakit dan perlukan rehat yang secukupnya. Gel kebas boleh diberikan untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut.

ANTIBIOTIK tidak perlu digunakan di dalam kebanyakan kes.

Pesakit perlu diasingkan daripada kanak2 yang lain.

Bilakah pesakit perlu dimasukkan ke Hospital?
- Apabila pesakit tidak boleh makan dan minum dan perlu dimasukkan air melalui salur darah
- Kelihatan lemah dan teruk, kelihatan toksik
- Jika demam tidak berkurang dan tinggi (38 dan 39 darjah sentiasa) lebih daripada 4 hari
- Bila doktor menjangka terdapat jangkitan kepada kawasan otak menyebabkan kanak-kanak meracau, serangan sawan, kepenatan melampau, tidak peka terhadap persekitaran.
- Bila terdapat masalah jantung seperti gangguan bunyi jantung, tekanan darah rendah.

Masih TIADA vaksinasi untuk penyakit ini pada waktu ini.

Elakkan Jangkitan!

Adalah penting untuk anda membasuh tangan dengan menggunakan sabun setiap kali anda menukar lampin anak-anak yang terkena HFMD.

Anda juga boleh menggunakan air dan sabun (ada yang cadangkan menggunakan Clorox) untuk membersihkan lantai, mainan, pakaian dan lampin yang terkena najis atau air liur mereka.

Jangan bawa anak anda ke tempat terbuka seperti kolam renang atau kompleks membeli belah. Sekolah dan nurseri juga perlu dielakkan untuk mengelakkan jangkitan merebak.



Jangan Panik

Sekiranya andak anda terkena jangkitan, usah panik. Kebanyak HFMD tidak merbahaya dan pulih sendiri. Apatah lagi sekiranya anak-anak anda tiada demam, selera makan adalah biasa dan nampak ceria sahaja walaupun terdapat ruam di mulut dan tangan.

Dapatkan nasihat doktor di klinik yang berhampiran dan elakkan jangkitan kepada anak-anak yang lain.

RM25 denda membuat tarian tiang & berkelakuan kurang sopan -Mahkamah Majistret Seremban

SEREMBAN - Tiga wanita beragama Islam didenda RM25 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan kurang sopan dengan melakukan aksi tarian tiang di sebuah pusat hiburan di Nilai dekat sini Sabtu lalu.

Faiqah Azizan, 24, Nurul Huda Abdul Rahman, 23, dan Nooranishah Mohamad Isa, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.


Nooranishah (kiri) bersama Faiqah dan Nurul Huda ketika ditahan atas kesalahan mempamerkan tarian tiang dan berpakaian tidak sopan di sebuah pusat hiburan di Nilai pada Sabtu lalu

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga wanita tersebut yang berasal dari Kuala Lumpur didakwa mempamerkan tarian tiang di atas pentas dengan pakaian kurang sopan di tempat hiburan awam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan.

Mereka adalah tertuduh beragama Islam yang pertama di Negeri Sembilan disabitkan kesalahan melakukan tarian tiang di bawah akta tersebut.

Mohamad Izwan dalam penghakimanannya berharap kesemua tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu demi menjaga nama baik diri dan keluarga mereka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...