PASIR PUTEH - Niat seorang pemborong ikan untuk menuntut hutang lapuk bukan saja tidak kesampaian malah dia dibunuh kejam apabila diserang menggunakan gergaji pemotong ais oleh jirannya itu di Tok Bali di sini kelmarin.
Che Hassan Che Omar, 51, yang berasal dari Kampung Kuala Besut, Terengganu mati selepas cedera di kiri tepi kepala selepas terkena libasan gergaji oleh jiran sendiri yang juga bekerja sebagai pemborong ikan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian ngeri pada pukul 4 petang itu berlaku di sebuah pangkalan pendaratan ikan ketika mangsa dan suspek berada di jeti itu.
"Ketika mangsa meminta hutang, suspek langsung tidak mengendahkan permintaan mangsa.
"Namun selepas mangsa mendesak ia menimbulkan kemarahan suspek sehingga mencetuskan pergaduhan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Selepas dua hingga tiga minit berperang mulut, suspek yang gagal mengawal kemarahan dikatakan pergi ke kereta miliknya dan mengambil sebilah gergaji besi dari dalam but kereta.
Melihat tindakan suspek berusia 49 tahun itu, mangsa didakwa terus mengeluarkan kata-kata provokasi kepada suspek menyebabkan suspek kemudian melibas gergaji itu ke arah kepala mangsa.
"Libasan itu menyebabkan mangsa yang cedera rebah. Suspek yang melihat mangsa rebah cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap penduduk kampung yang kemudian menyerahkan kepada polis," cerita beliau.
Jalaluddin memberitahu, mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku, Pasir Puteh tetapi disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang selepas usaha menyelamatkannya gagal.