Monday, June 27, 2011

Dengar tangisan bayi di celah semak


BACHOK – Seorang lelaki terkejut apabila menemui bayi yang masih bertali pusat dibuang di dalam semak dalam kejadian di Kampung Pertama Machang di sini semalam.

Bayi lelaki itu ditemui pada pukul 11.30 pagi ketika Mohd. Satar Mohd. Ali, 49, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membaiki motosikal di pekan Jelawat dekat sini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi bayi itu dijumpai.

Menurut Mohd. Satar, dia merasa pelik apabila terdengar bunyi tangisan bayi ketika melalui kawasan semak tersebut dan apabila ditinjau, dia terkejut melihat seorang bayi lelaki berada di dalam sebuah beg kertas di semak berkenaan.

“Sebaik membuka beg itu, saya nampak seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalamnya. Saya terus berlari untuk memberitahu penduduk kampung sebelum bayi malang itu dipindahkan ke tempat redup.

“Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat dan sihat itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” ceritanya ketika ditemui semalam.

Guru nyaris maut dilibas parang

KUALA LUMPUR - Seorang guru wanita bukan sahaja kerugian sebanyak RM8,800 malah nyaris maut ditetak dengan sebilah parang oleh sekumpulan perompak dalam kejadian di Jalan Amzil, Taman Melewar dekat sini tengah hari semalam.

Kejadian di hadapan rumah mangsa yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik jirannya dilakukan empat orang penjahat lelaki menaiki dua buah motosikal berwarna hitam.



Dalam tempoh satu minit sahaja, dua perompak dipercayai warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an menyerbu ke arah mangsa sementara dua lagi bertindak mengawasi keadaan sekeliling di depan pintu pagar rumah guru itu.

Menurut mangsa yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Sentul, Nazalina Nawawi , 36, berlaku pergelutan di dalam kereta apabila penjenayah itu merentap gelang tangan bernilai RM1,200 dan menyelak tudungnya untuk mengambil rantai leher.

Bagaimanapun, dia tidak memakai rantai leher menyebabkan perompak bertindak merampas beg tangan yang mengandungi wang tunai hasil perniagaan kedai buku milik suaminya sebanyak RM6,500 dan sebuah telefon bimbit jenama BlackBerry bernilai RM1,100.

Enggan melepaskan beg tersebut, Nazalina diheret ke luar kereta mengakibatkan berlaku pergelutan dengan penjenayah terbabit.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...