Wednesday, August 28, 2013

2 peluru tembusi badan peniaga



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat seorang pembekal kipas angin yang cedera parah selepas ditembak penyamun di Kuantan, Pahang semalam.



KUANTAN – Seorang pembekal kipas angin bukan sahaja kehilangan kereta jenis Peugeot 308 malah cedera parah selepas terkena dua das tembakan di bahu dan rusuk kiri selepas disamun tiga lelaki di depan sebuah hotel di Jalan Air Putih di sini semalam.Kejadian pukul 4.15 pagi itu berlaku ketika Lee Siew Meng, 42, baru keluar dari keretanya untuk mendaftar masuk ke hotel tersebut.
Polis masih menyiasat kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan kes seorang janda berusia 35 tahun yang nyaris terkena tembakan ketika memberhentikan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard di lampu isyarat di Jalan Haji Ahmad di sini pada 13 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd. Majid berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang baru tiba dari Kuala Terengganu, Terengganu, bergelut dengan suspek sebelum penjenayah memukul kepalanya dengan objek keras dan terus melepaskan tembakan. “Sebutir peluru menembusi bahunya dan sebutir lagi terlekat di dalam rusuk kiri. Suspek kemudian melarikan diri bersama kereta mangsa.

“Bapa kepada empat anak itu datang ke sini atas urusan perniagaan. Dia kini stabil selepas dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini.


 

8 lelaki dicari kes samun langgar belakang kenderaan






KUALA LUMPUR – Lapan pemuda dikehendaki polis selepas dipercayai terlibat dalam 37 kes samun yang menggunakan modus operandi melanggar belakang kenderaan yang berlaku di sekitar ibu negara sejak awal tahun ini.

Mereka ialah N. Saravanan Kumar, 25; Muhammad Shajaan Mohd. Sharif, 35; M. Lawrence, 27, dan M. Devandran, 26. Turut dicari ialah D. Vikram, 21; N. Viknesh, 24; R. Nareshwaran, 22, dan D. Thevarajan, 23. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua lelaki itu yang berasal dari sekitar Lembah Klang dipercayai aktif menyamun dengan menyasarkan mangsa yang memandu kenderaan mewah.

“Sebaik mangsa keluar selepas kenderaan mereka dilanggar, suspek akan mengacu senjata tajam seperti parang. “Kumpulan penjenayah ini bergerak dalam kumpulan yang terdiri daripada dua hingga empat orang. Waktu operasi pula bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Menurut Mohmad, sebanyak 49 kes samun menggunakan modus operandi yang sama dilaporkan berlaku di ibu negara sejak awal tahun ini.


 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...