Tindakan segelintir peniaga mahu berjimat dengan menggunakan minyak masak yang sama
berulang kali diibaratkan pembunuh senyap kepada pembeli.
Pengarah Pusat Pengembangan Keusahawanan dan Pemajuan Profesional, Universiti Putra
Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nordin Abdul Rahman berkata, penggunaan minyak terpakai
menyebabkan peningkatan kadar lemak tepu yang berbahaya kepada kesihatan.
Menurutnya, kecenderungan peniaga menggunakan semula minyak terpakai itu dikesan
apabila beberapa orang penyelidik UPM yang sedang melakukan kajian biodiesel mendapati
bahan itu begitu sukar ditemui.
“Penyelidik kami tidak dapat bekalan minyak masak tersebut kerana mendapati peniaga
tidak akan membuangnya selepas digunakan, malah ia dicampur dengan minyak masak baharu.
“Minyak yang diguna semula menyebabkan peningkatan kolesterol serta serangan penyakit
jantung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran dan Pembangunan
Halal Negeri Selangor 2012 di sini semalam.