Sunday, April 10, 2011

Kelantan kembali tunjuk garang


PEMAIN Felda United, Mohd. Kaironnisam (kiri) menghalang pemain Kelantan, Norshahrul Idlan dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu kelmarin. Kelantan menang 6-0.


SELEPAS tewas mengejut di tangan T-Team Selasa lalu, Kelantan ibarat sang Singa yang terluka apabila menjadikan Felda United sebagai mangsa pertama selepas membaham pasukan tersebut 6-0 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammed Ke IV malam kelmarin.

Lebih manis, kemenangan tersebut juga melonjakkan kedudukan Kelantan untuk mengungguli persada liga biarpun terpaksa berkongsi mata dengan Selangor, namun dipisahkan dengan jumlah jaringan gol.

Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu menyifatkan pasukannya tersedar dari lena dan mimpi buruk ketika mereka terpaksa pulang hampa ke Kota Bharu ketika ditewaskan T-Team di Terengganu tempoh hari.

"Perlawanan malam tadi (kelmarin) sangat penting untuk kita selepas tewas dengan T-Team. Kita pulang ke sini (Kota Bharu) dan membuktikan kita adalah sebuah pasukan yang cukup tersusun. Saya bangga dan kagum dengan semangat itu.

"Kita bermula dengan baik dan menguasai perlawanan. Hantaran cukup sempurna dengan pemain yang tersenarai menunjukkan semangat yang cukup tinggi dan mereka tahu mereka tidak mampu untuk kalah lagi. Di sini kita buktikan kita antara yang terbaik," katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, beliau mengharapkan aksi yang sama diteruskan dalam perlawanan akan datang ketika Kelantan dijadualkan bertandang ke Ipoh esok untuk menentang Perak sebelum pulang semula ke Kota Bharu melayan kunjungan Sabah, Sabtu ini.

"Jumlah jaringan malam tadi cukup luar biasa. Felda main cukup baik dan mereka memiliki pemain yang berkualiti tetapi secara taktikalnya kita lebih baik dan jentera tengah dan penggempur kita menjalankan tugas dengan sempurna.

Mengulas mengenai ketiadaan ketua pasukan, Badri Radzi yang hanya memanaskan bangku simpanan, Karathu berkata:

"Jentera tengah cukup penting, saya mahu pemain yang boleh 'menang bola'. Daniel Fadzley dan Shakir (Shaari) bermain baik. Semua pemain kena kerja kuat, apabila kita selalu hilang bola ia menimbulkan masalah untuk pertahanan," ujarnya.

Perlawanan malam kelmarin menyaksikan pesta gol Kelantan dibuka oleh Shakir Shaari pada minit ke 33 menerusi rembatan dari jarak 35 meter yang menewaskan Faizal Rashid.

Selang tujuh minit kemudian giliran Norshahrul Idlan Talaha menyempurnakan sepakan penalti selepas S. Chanturu dijatuhkan dalam kotak penalti yang turut menyaksikan pertahanan Felda, Abdul Ghani Abd. Rahman di buang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Babak kedua perlawanan menyaksikan giliran penyerang muda Kelantan, Nizad Ayub menggamatkan stadium dengan dua gol dihasilkan pada minit ke 60 dan 71.

Sepuluh minit sebelum perlawanan tamat, Kelantan berjaya menambah derita Felda menerusi gol hasil sepakan percuma Daniel Fadzley Abdullah pada minit ke 82 dan pemain muda, Mohd. Izuan Solahudin pada minit ke 89.

Tuesday, April 5, 2011

Penyamun dijel kerana imej CCTV


Pembongkaran Akhbar tempatan pada Januari tahun lalu mengenai kegiatan sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang dan kapak yang menyamun sebuah klinik di pinggir ibu negara membuahkan hasil apabila tiga daripada suspek disumbat ke dalam penjara selama enam dan tujuh tahun. Mereka juga dihukum sebat.

Penyamun bergelar Penjahat Empat Jahanam itu amat ganas apabila mereka tanpa belas kasihan mengugut mangsa-mangsa di klinik tersebut sebelum melarikan barang-barang berharga. Mereka merompak pada 7 Disember 2009.

Kosmo! yang membuat pendedahan berterusan bermula pada 2 Januari 2010 dengan menyiarkan imej kejadian rompakan yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) di klinik tersebut membantu siasatan polis apabila seorang demi seorang suspek ditahan sebelum mereka dihadapkan ke mahkamah.

Suspek pertama ditahan oleh polis Cawangan Jenayah Berat (D9) Selangor pada 6 Januari 2010 di sebuah restoran di Jalan Klang Lama dekat sini manakala tiga lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan dua hari kemudian.

Keempat-empat suspek itu kemudian diserahkan kepada polis Ampang Jaya.

Selepas disiasat dan diserahkan kepada polis di beberapa daerah lain untuk tujuan membantu siasatan beberapa kes jenayah, tiga lelaki itu buat pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang pada 17 Mac 2010 namun seorang lagi suspek dibebaskan selepas polis mendapati dia tidak terlibat.

T-Team bangkit menentang Kelantan

REPUTASI Kelantan selaku kuasa bola sepak Malaysia akhirnya tercalar di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Pada aksi penuh mendebarkan itu, Kelantan yang turun selaku pendahulu Liga Super tewas 3-4 kepada pasukan berstatus kelab, T-Team.

Kemenangan tuan rumah itu sekali gus turut menebus kekecewaan mereka selepas disingkirkan Kelantan pada aksi Piala FA sebelum ini.

Lebih manis lagi, dua daripada tiga gol yang dijaringkan T-Team semalam disumbangkan bekas pemain Kelantan, Norfar- han Mohammad dan Indra Putra Mahyuddin.

NORFARHAN (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol kedua T-Team ketika menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. T-Team menang 4-3.


T-Team yang dibimbing Yunus Alif membuka jaringan pertama pada minit ke-21 menerusi Zairo Anuar Zailani hasil sepakan percuma.

Norfarhan terus menambah derita bekas pasukannya itu dengan gol kedua pada minit ke-46.

Jaringan itu hadir hasil gerakan solo pemain pertahanan, Norfarhan yang berjaya menggelecek empat pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang yang menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, gawang Kelantan yang dikemudi Khairul Fahmi bolos lagi, kali ini menerusi jaringan cantik Indra pada minit ke-51.

Pasukan pelawat cuba merapatkan jurang gol, namun beberapa percubaan daripada Norshahrul Idlan Talaha gagal membuahkan hasil.

Bagaimanapun pada minit ke-62, Kelantan berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah.

Dua minit kemudian, pasukan pelawat menambah gol kedua hasil percubaan jarak jauh S. Chanthuru yang berjaya menewaskan Syamsuri Mustafa.

Kealpaan Kelantan memburu gol penyamaan bagaimanapun dihukum tuan rumah dengan gol keempat minit ke-79 mene- rusi Haris Safwan Kamal.

Namun, Danial Fadzly terus memberi tekanan apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan hasil sepakan penalti pada minit ke-86.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...