Monday, October 7, 2013

Kelantan umum belanjawan defisit 2014

NONE
Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan belanjawan defisit untuk tahun hadapan, sebanyak RM10.39 juta, selain jangkaan penurunan hasil negeri. Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (bawah) ketika mengumumkan belanjawan bertemakan `Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri' dengan unjuran penurunan hasil sebanyak 5.58 peratus. "Bajet Negeri Kelantan Tahun 2014 merupakan belanjawan defisit, dengan perolehan hasil dianggarkan berjumlah RM549.26 juta manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM559.64 juta.

"Perbelanjaan mengurus dianggarkan meningkat 4.42 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyebabkan bajet lebihan pada 2013 kepada bajet defisit 2014," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Baharu hari ini. Belanjawan itu mengandungi empat teras utama iaitu Merancakkan Pembangunan Ekonomi Untuk Kesejahteraan Rakyat, Memperkasa Pembangunan Insan Berteraskan Islam, Pembelaan Golongan Daif dan Miskin, Orang Kurang Upaya, Anak Yatim, Armalah dan Warga Emas dan teras keempatnya Mengukuhkan Keupayaan Institusi dan Pelaksanaan.

Ahmad yang juga Pengerusi Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Negeri berkata anggaran hasil negeri pada 2014 dijangka sebanyak RM549.26 juta. "Ia meliputi hasil cukai sebanyak RM311.12 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM133.05 juta sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM105.08 juta," katanya. Beliau berkata jumlah tersebut menunjukkan berlakunya penurunan hasil sebanyak RM32.51 juta atau sebanyak 5.58 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2013 yang berjumlah RM581.77 juta.

Katanya penurunan hasil yang ketara disebabkan jangkaan pengurangan kutipan premium tanah yang dijangkakan sebanyak RM24.80 juta berbanding RM45 juta pada tahun ini. "Ini disebabkan tiada pemberian milik tanah secara berskala besar tahun hadapan," katanya. Belanjawan itu juga turut memasukkan hasil royalti petroleum yang merupakan penyumbang terbesar kepada hasil negeri iaitu sebanyak 36.41 peratus daripada keseluruhan hasil sebanyak RM549.26 juta.

Katanya kerajaan negeri mengharapkan tuntutan royalti berkenaan dijelaskan oleh kerajaan Pusat dan turut mengucapkan terima kasih kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang telah beberapa kali mewakili kerajaan negeri pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi perundingan bersama kerajaan Pusat untuk mendapatkan tuntutan berkenaan. Selain itu, hasil tanah merupakan penyumbang kedua terbesar sebanyak RM105.44 juta atau 19.20 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Selain premium tanah, ia turut meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM38.32 juta, bayaran pendaftaran RM6.26 juta, bayaran pindah milik RM4.75 juta serta bayaran gadaian sebanyak RM5.1 juta.

Ahmad berkata hasil perlombongan pula dikenal pasti sebagai sumber hasil negeri yang baharu dengan unjuran hasil RM29.5 juta atau 5.37 peratus daripada anggaran kutipan hasil 2014, iaitu peningkatan RM18.5 juta berbanding 2013. Selain itu, Ahmad berkata hasil perhutanan menyumbang sebanyak RM67.41 juta atau 12.27 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil, penurunan sebanyak RM19.89 juta jika dibandingkan dengan anggaran belanjawan 2013 berjumlah RM87.30 juta. "Hasil hutan meliputi royalti kayu-kayan yang menyumbangkan sebanyak RM25 juta, bayaran Jabatan Hutan RM10 juta dan premium perhutanan sebanyak RM30 juta," katanya.

Beliau juga berkata anggaran perbelanjaan mengurus bagi tahun depan berjumlah RM559.64 juta berbanding RM535.95 juta tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM23.69 juta atau 4.42 peratus, yang merangkumi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM28.05 juta dan perbelanjaan bekalan berjumlah RM531.59 juta. Katanya daripada jumlah itu, RM279.14 juta atau 49.88 peratus merupakan pemberian dan bayaran kenaan tetap, RM173.90 juta atau 31.07 peratus untuk emolumen RM88 juta atau 15.73 peratus bagi perkhidmatan dan bekalan, RM16.39 juta atau 2.93 peratus untuk aset dan RM2.2 juta atau 0.39 peratus untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan, Kelantan memperuntuk RM211.38 juta yang dibiayai oleh peruntukan negeri termasuk RM45 juta daripada sumber pinjaman. "Kerajaan negeri akan memberi fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkat penyediaan prasarana dan kemudahan bagi memajukan tahap sosioekonomi rakyat berasaskan kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri," katanya.

Wednesday, August 28, 2013

2 peluru tembusi badan peniaga



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat seorang pembekal kipas angin yang cedera parah selepas ditembak penyamun di Kuantan, Pahang semalam.



KUANTAN – Seorang pembekal kipas angin bukan sahaja kehilangan kereta jenis Peugeot 308 malah cedera parah selepas terkena dua das tembakan di bahu dan rusuk kiri selepas disamun tiga lelaki di depan sebuah hotel di Jalan Air Putih di sini semalam.Kejadian pukul 4.15 pagi itu berlaku ketika Lee Siew Meng, 42, baru keluar dari keretanya untuk mendaftar masuk ke hotel tersebut.
Polis masih menyiasat kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan kes seorang janda berusia 35 tahun yang nyaris terkena tembakan ketika memberhentikan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard di lampu isyarat di Jalan Haji Ahmad di sini pada 13 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd. Majid berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang baru tiba dari Kuala Terengganu, Terengganu, bergelut dengan suspek sebelum penjenayah memukul kepalanya dengan objek keras dan terus melepaskan tembakan. “Sebutir peluru menembusi bahunya dan sebutir lagi terlekat di dalam rusuk kiri. Suspek kemudian melarikan diri bersama kereta mangsa.

“Bapa kepada empat anak itu datang ke sini atas urusan perniagaan. Dia kini stabil selepas dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini.


 

8 lelaki dicari kes samun langgar belakang kenderaan






KUALA LUMPUR – Lapan pemuda dikehendaki polis selepas dipercayai terlibat dalam 37 kes samun yang menggunakan modus operandi melanggar belakang kenderaan yang berlaku di sekitar ibu negara sejak awal tahun ini.

Mereka ialah N. Saravanan Kumar, 25; Muhammad Shajaan Mohd. Sharif, 35; M. Lawrence, 27, dan M. Devandran, 26. Turut dicari ialah D. Vikram, 21; N. Viknesh, 24; R. Nareshwaran, 22, dan D. Thevarajan, 23. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua lelaki itu yang berasal dari sekitar Lembah Klang dipercayai aktif menyamun dengan menyasarkan mangsa yang memandu kenderaan mewah.

“Sebaik mangsa keluar selepas kenderaan mereka dilanggar, suspek akan mengacu senjata tajam seperti parang. “Kumpulan penjenayah ini bergerak dalam kumpulan yang terdiri daripada dua hingga empat orang. Waktu operasi pula bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Menurut Mohmad, sebanyak 49 kes samun menggunakan modus operandi yang sama dilaporkan berlaku di ibu negara sejak awal tahun ini.


 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...